Monday, September 3, 2012

aliran tenaga



In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

***
Assalamualaikum semua.
 
Aliran tenaga yang berlaku dalam siratan makanan tasik boleh dijelaskan seperti berikut:

 i) Tenaga (haba) dari matahari diterima oleh tumbuhan hijau (keladi, teratai, lumut, alga). Tenaga kimia terhasil melalui proses fotosintesis yang dijalankan apabila tumbuhan menghasilkan glukosa iaitu makanannya. Matahari bertindak sebagai pembekal utama tenaga asas.

ii) Tenaga kimia yang disimpan dalam bentuk glukosa tadi seterusnya akan dipindahkan pula kepada hidupan zooplankton apabila hidupan tersebut memakan tumbuhan berkenaan. Pada aras trof ini, zooplankton (pelbagai hidupan seni) berperanan sebagai pengguna primer.

iii) Tenaga kimia dalam zooplankton (pengguna primer) ini pula berpindah kepada pengguna sekunder (ikan-ikan kecil dan cacing) apabila haiwan berkenaan memakan zooplankton tadi. Tenaga kimia yang dipindahkan ini digunakan untuk tumbesaran, bergerakan dan membiak.

iv) Seterusnya tenaga kimia yang disimpan di dalam pengguna sekunder pula akan dipindahkan / berpindah ke pengguna tertier (ikan-ikan yang lebih besar) apabila ikan-ikan ini memakan ikan-ikan kecil dan cacing/ ulat. Dalam konteks ini, sekali lagi tenaga kimia yang dipindahkan itu berfungsi untuk tumbesaran, bergerak dan membiak.

v) Akhirnya, tenaga kimia yang terdapat di dalam pengguna tertier akan berpindah / dialirkan kepada pengurai yang terdiri daripada bakteria, fungi dan protozoa apabila ianya menguraikan segala pengguna yang telah mati dan reput daripada tumbuhan dan haiwan yang terdiri daripada pengguna primer, sekunder dan tertier. Bahan organik yang reput ini akan menambahkan nutrien dalam tasik tersebut. Nutrien-nutrien tadi akan digunakan kembali oleh tumbuhan autotrof untuk tumbesaran. 

Kesimpulan - aliran dan perpindahan tenaga dari satu tingkat pengguna ke tingkat pengguna yang seterusnya hanya akan berlaku apabila berlakunya proses makan dan memakan serta penguraian dan pereputan oleh organisma pengurai.

No comments:

Post a Comment